| Tren elektrik Ipoh-KL mula bulan depan |
|
|
|
| Written by Administrator | |
| Wednesday, 28 July 2010 | |
|
BATU GAJAH-27 Julai Perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara Ipoh dan Kuala Lumpur akan beroperasi pada minggu pertama Ogos ini dengan kekerapan lapan perjalanan pergi dan balik setiap hari, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha. Beliau berkata perjalanan berkenaan akan mengambil masa kira-kira dua jam dan hanya akan berhenti di beberapa buah stesen tertentu. "Kita terpaksa mengurangkan tempat-tempat berhenti bagi perjalanan ini untuk memastikan perjalanan menepati anggaran masa yang ditetapkan bagi keselesaan pengguna. Setiap perjalanan akan menggunakan satu set keretapi ETS yang mengandungi enam gerabak. Setiap gerabak boleh dimuatkan dengan 50 penumpang dan jumlah keseluruhan penumpang bagi setiap perjalanan ialah antara 300 dan 350 orang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini hari ini.
Kompleks yang menelan kos sebanyak RM78 juta itu dibina di atas tanah seluas 60 hektar melibatkan pembinaan pusat pembangunan Akademi KTMB (MyRA), Depoh Penyelenggaraan Tren serta kuarters.
"Kemodenan infrastruktur yang terdapat di kompleks ini membolehkan produktiviti dipertingkatkan apabila tenaga kerja mahir dapat dilahirkan melalui akademi ini. Kementerian Pengangkutan juga optimis kompleks ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan lestari KTMB," katanya.
|
|
| Last Updated ( Wednesday, 28 July 2010 ) |
| < Prev | Next > |
|---|












